Latar Belakang

Rentetan dan Singkapan Wajah- wajah PKU Dahulu dan Sekarang

Pusat Kesihatan Universiti (dahulunya PUSAT KESIHATAN PELAJAR), Universiti Utara Malaysia (UUM) mula beroperasi pada tahun 1986 di kampus sementara di Tanah Merah Bandar Darul Aman Jitra, Kedah. Pada tahun 1990, Pusat Kesihatan Pelajar (PKP) turut berpindah bersama universiti induk ke kampus barunya di Sintok, Kedah. Staf PKP pada ketika itu seramai 6 orang. Perkhidmatan yang diberi terhad kepada rawatan pesakit luar dan rawatan pergigian. Pada ketika ini bilangan staf melebihi 30 orang dan perkhidmatan juga telah diperluas dan dipelbagaikan.

Mulai tahun 1995, Pusat Kesihatan Universiti (PKU) dengan bantuan Pusat Komputer Universiti Utara Malaysia (UUM) telah melahirkan satu Sistem Klinik Berkomputer iaitu CLIMAS (Clinic Managemnet System) bertujuan mempercepatkan proses merawat pesakit. Sistem ini melibatkan keseluruhan perkhidmatan perubatan dari masa pendaftaran sehingga pesakit mendapat rawatan. Pusat Kesihatan Universiti UUM, merupakan pusat kesihatan universiti yang pertama di Malaysia yang menggunakan sistem klinik berkomputer bersama smart card dan sistem ini mendapat pengiktirafan apabila memenangi tempat kedua dalam pertandingan Asia Pacific Multimedia Information Technology and Telecommunication Awards pada Mac 2001.

Pada bulan April 1998, PKU dipilih oleh universiti menjadi sebuah Strategic Business Unit (SBU) bertujuan untuk dapat menjana kewangan bagi PKU khasnya dan universiti amnya. Sehingga kini, ia antara penyumbang dana terbesar universiti.

dahulu 10-tile

Selain memberi perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat universiti, PKU UUM turut memberi sumbangan dalam pelbagai aktiviti pembangunan sahsiah warga universiti serta khidmat bakti kepada masyarakat orang awam sesuai dengan moto universiti "ILMU, BUDI, BAKTI". Dan dengan tema atau moto PKU sendiri iaitu "KESEJAHTERAAN ANDA KEUTAMAAN KAMI".

Perkhidmatan terbaik dan tersusun PKU UUM terbukti kini dengan kejayaannya mendapatkan pengiktirafan ISO 9002 yang diperoleh bersama keseluruhan universiti pada Disember 2001 dan menjadi Pusat Kesihatan Institusi Pengajian Tinggi pertama di Malaysia yang mencapai kejayaan tersebut. PKU mengorak langkah menuju perkhidmatan berkualiti apabila memperolehi pengiktirafan ISO versi 2000 iaitu MS 9001-2000 pada Februari 2004.

Pada tahun 2003, satu lagi sejarah tercatat pada PKU UUM apabila Mesyuarat Pegawai Tadbir Kanan (PTK) ke 9 Bil. 1/2003 yang bersidang pada 26 April 2003 telah bersetuju supaya Pusat Kesihatan Pelajar, UUM diletakkan di bawah Jabatan Canselori dengan nama baru iaitu PUSAT KESIHATAN UNIVERSITI berkuatkuasa mulai 1 Jun 2003. Mulai 1 Januari 2006, Pusat Kesihatan Universiti diletakkan terus di bawah Pejabat Naib Canselor Universiti Utara Malaysia.

 clipboard0-tile

 

 

 

 

 

uum icon mygov msc mampu myideas myline tourism krste sirim kkm